Empat ditahan kerana salah pasang bendera - Utusan Malaysia

Empat ditahan kerana salah pasang bendera

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga rakyat tempatan merupakan antara empat individu ditahan polis kerana kesalahan memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor secara terbalik di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau di sini semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bandar Dato’ Onn melakukan pemeriksaan di kilang berkenaan pada pukul 2.07 petang.

“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan memasang bendera Jalur Gemilang dan Johor secara terbalik. Sehubungan itu polis bertindak menahan empat individu.

“Mereka melibatkan seorang pengurus kilang, pegawai sumber manusia, kerani logistik dan pekerja warga Bangladesh dengan kesemua berusia antara 23 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang alasan berhubung kesalahan itu kerana negara sudah merdeka selama 63 tahun.

Malah kata beliau, pihaknya mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan kilang berkenaan kerana tindakan memasang bendera terbalik bukan perkara remeh.

“Sebelum ini, tindakan hanya diambil ke atas individu yang memasang bendera, kini kita tahan sekali mereka yang bertanggungjawab menyelia perkara berkenaan.

“Tindakan tegas ini dibuat sebagai mesej jelas kepada masyarakat. Jika ada mana-mana pihak mengulangi perkara ini, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN