Empangan Teluk Bahang mampu bekal air berterusan 59 hari - Utusan Malaysia

Empangan Teluk Bahang mampu bekal air berterusan 59 hari

JASENI MAIDINSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Empangan Teluk Bahang yang kini mencapai paras 19.2 peratus masih mampu membekalkan air selama 59 hari secara berterusan walaupun tanpa hujan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, sekiranya terdapat hujan di kawasan tadahan air itu kapasiti efektif empangan dan jumlah hari bekalan akan meningkat secara automatik.

“Empangan Teluk Bahang adalah empangan yang besar. Dengan kapasiti efektif 19.2 peratus ia dapat menyokong perkhidmatan bekalan air berterusan selama 59 hari (tanpa hujan) di kawasan liputannya.

“Kawasan liputan utama empangan ini adalah Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan kawasan sekitar Tanjung Bungah,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan paras air di Empangan Teluk Bahang di sini berada pada paras kritikal apabila merekodkan tahap 19.6 peratus pada 5 Ogos sekali gus yang terendah dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Menurut Jaseni, kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang yang rendah sehingga mencapai paras 19.2 pada 6 Ogos lalu adalah disebabkan oleh hujan yang luar biasa rendah berikutan perubahan iklim dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

“Hujan di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang dalam tempoh 1 Ogos 2019 hingga 31 Julai 2020 adalah 4,466 milimeter (mm), berbanding purata 6,411 mm untuk tempoh yang sama pada tahun 2017, 2018 dan 2019.

“Kesimpulan yang logik adalah bahawa perubahan iklim menyebabkan hujan yang sedikit di kawasan tadahan air empangan,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN