PUTRAJAYA: Dua projek perintis dikenal pasti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah skim National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi menangani isu-isu berkaitan pandemik Covid-19.
Dua projek itu adalah Ethovent Ventilator Chamber iaitu alat bantuan pernafasan separa yang pertama dicipta di Malaysia serta robot penghantaran iaitu Robot MCK19 yang telah ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk mengurangkan bebanan petugas kesihatan.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, NTIS diterajui oleh kementeriannya dengan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) yang berperanan sebagai Ketua Sekretariat inisiatif NTIS beserta keahlian agensi-agensi kementerian yang lain seperti Taman Teknologi Malaysia (TPM), MIMOS Bhd. (MIMOS) dan juga Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Katanya, pihak sekretariat juga bekerjasama dengan Futurise Sdn. Bhd. (Futurise) untuk menyelaras dan memudah cara pelaksanaan inisiatif NTIS.
“Sebagai permulaan, NTIS akan dilaksanakan melalui empat skim pembiayaan yang ditawarkan di bawah MTDC iaitu Single Site Sandbox, Multiple Sites Sandbox, Commercialisation Sandbox dan Corporate Sandbox.
“Bagi kategori Single Site Sandbox, pembiayaan adalah secara 100 peratus daripada kos yang layak. Bagi kategori Multiple Sites, Commercialisation dan Corporate Sandbox pula, pembiayaan adalah secara 70 peratus daripada kos yang layak dengan kuantum maksimum yang telah ditetapkan,” katanya sewaktu berucap pada majlis pelancaran NTIS di MaGIC, Cyberjaya dekat sini hari ini.
NTIS dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN