KOTA TINGGI: Pelbagai andaian dibuat oleh orang ramai berhubung kes serangan gajah di sini minggu lalu.
Ada yang mengaitkan amukan itu kerana berang salah seekor anak gajah dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.
Perkara tersebut dikaitkan dengan kemunculan seekor ibu gajah di Kilometer 52 Simpang Perani, Mawai, di sini sehingga menyerang gerai buah kerana sedang mencari anaknya yang dikatakan hilang.
Selain itu, punca serangan gajah sehingga meragut nyawa pengawal keselamatan di lombong pasir Batu 6, di sini dikatakan kerana ia berang dengan salakan anjing.
Penduduk di sini pula cuba mengaitkannya dengan unsur mistik terutama generasi lama yang melarang orang ramai daripada selalu menyebut perkataan gajah.
Pengarah Perhilitan negeri, Salman Sabdan bagaimanapun berkata, dakwaan itu tidak berasas dan hanya persepsi ditimbulkan oleh orang ramai.
“Cuma kebetulan ada dua kes berturutan berlaku iaitu kematian pengawal dan serangan gerai buah-buahan di kawasan sama menyebabkan teori tersebut ditimbulkan netizen,” katanya di sini semalam.
Salman berkata, keterujaan orang ramai pulang berhari raya dan melihat gajah berkeliaran sehingga sanggup memberhentikan kenderaan untuk merakam video dan gambar menyebabkan kesesakan lalu
lintas.
Ujarnya, kesesakan itu menyebabkan terdapat segelintir pemandu membunyikan hon sekali gus menyebabkan gajah berang.
“Gajah ini pantang bila dengar bunyi hon. Ini menjadi antara punca gerai buah diserang pada malam Hari Raya Aidiladha itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE