JOHOR BAHRU: Warga Johor Bahru yang dibenarkan merentas sempadan Malaysia dan Singapura akan dipenjarakan sekiranya mereka gagal mematuhi arahan kuarantin wajib 14 hari di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, kerajaan mempunyai cara untuk mengesan mereka jika gagal mematuhi arahan tersebut.
“Kita boleh tahu ke mana mereka pergi, sebelum mereka ditahan dan dipenjarakan seperti mana berlaku di Kedah, lebih baik mereka mematuhi arahan ini.
“Ini untuk memastikan kesejahteraan mereka, keluarga dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pembukaan sempadan negara di Tambak Johor di sini hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir meninjau perjalanan hari pertama rentas sempadan kedua-dua negara yang bermula hari ini.
Mohd. Solihan berkata, hanya warga Johor Bahru yang dibenarkan kuarantin di rumah manakala selain mereka perlu menjalani kuarantin wajib di hotel.
“Bagi mereka yang masuk melalui Tambak Johor perlu dikuarantin di Hotel KSL manakala memasuki Laluan Kedua pula di Hotel Aman Sari. Kos penginapan kuarantin ini ditangguh sepenuhnya oleh mereka terlibat,” katanya.
Katanya, sehingga hari ini terdapat 300 orang merentas sempadan menerusi yang melibatkan fasa pertama iaitu Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).
Menurut beliau, RGL membabitkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi manakala PCA pula bagi pemegang pas imigresen jangka panjang di kedua-dua negara tersebut.
“Berdasarkan tinjauan, perjalanan hari pertama rentas sempadan berjalan lancar apabila mereka dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
“Mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 termasuk ujian swab di kaunter-kaunter disediakan agensi-agensi seperti Kementerian Kesihatan,” katanya.
RGL menetapkan kemasukan 400 individu warga asing yang menetap di Singapura yang mahu memasuki Malaysia bagi tempoh singkat untuk tujuan rasmi dan urusan perniagaan dalam tempoh seminggu.
PCA pula membenarkan seramai 2,000 individu sehari melibatkan warganegara Singapura dan penduduk tetap di Singapura yang mempunyai Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLSJP) untuk bekerja dan berniaga. – UTUSAN ONLINE