KLANG: Seorang penganggur didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan termasuk dua daripadanya memperdaya menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang pada 10 Jun hingga 13 Julai tahun ini.
Tertuduh, V. Vicknes, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail dan Majistret Roslizi Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang menggelar dirinya ‘Datuk Naresh’ menipu lelaki berusia 59 tahun dengan memperdayakan mempercayai menguruskan biasiswa untuk menampung pengajian dua anaknya dengan mendorong mangsa menyerahkan wang RM2,500 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya.
Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak ini didakwa memperdayakan mangsa sama untuk menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM9,700 juga ke dalam akaun yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan memperdayakan mangsa sama dengan menawarkan kenderaan istana Pahang dan mendorong memasukkan wang RM57,450 ke dalam empat akaun berasingan termasuk miliknya.
Tertuduh didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di Taman Berkeley dan Bandar Baru Klang di antara 10 Jun hingga 13 Julai tahun ini.
Sementara itu di mahkamah berasingan, Vicknes didakwa memperdayakan lelaki berusia 61 tahun untuk menguruskan darjah kebesaran Mahkota Pahang sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM11,500 juga ke dalam akaun milik individu lain.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Taman Berkeley antara 15 Jun hingga 1 Julai tahun ini. – UTUSAN