Covid-19: Kontak pesakit di Kuala Perlis diminta buat saringan - Utusan Malaysia

Covid-19: Kontak pesakit di Kuala Perlis diminta buat saringan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengan seorang pesakit baharu Covid-19 dari Kuala Perlis, di sini diminta segera membuat saringan bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kes terbaharu yang melibatkan seorang wanita itu sudah tentu mempunyai kesan ke atas penduduk di Kuala Perlis, terutama di kawasan sekitar pesakit terbabit tinggal.

“Seperti SOP (prosedur operasi standart) biasa, Jabatan Kesihatan negeri terpaksa bekerja keras untuk kenal pasti kontak kes terbabit. Saya amat berharap mereka yang mempunyai kontak dengan pesakit ini untuk segera tampil menghubungi petugas barisan hadapan Jabatan Kesihatan Perlis untuk saringan. 

“Kita mungkin terpaksa berhadapan dengan situasi kehidupan yang lebih sukar jika situasi Covid-19 di Perlis semakin menular,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Perlis mencatatkan satu kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes berkenaan di negeri ini meningkat kepada 31 orang.

Pesakit berusia 45 tahun itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Punca pesakit berkenaan terkena jangkitan tersebut masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan.

Sebelum ini, sebanyak 11 kes positif Covid-19 termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun direkodkan di Perlis iaitu di Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul membabitkan kluster Sivagangga.

Sementara itu, Klinik Remedic di sini ditutup tiga hari sehingga esok selepas pesakit terbabit pernah mengunjungi klinik berkenaan pada 3, 4 dan 5 Ogos lalu.

Remedic dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebooknya memaklumkan, pesakit itu telah mengunjungi klinik tersebut bagi mendapatkan rawatan cuci luka di kaki.

“Pesakit terbabit tidak menunjukan sebarang gejala Covid-19 sepanjang menerima rawatan di klinik ini. Semua kakitangan klinik juga akan menjalani saringan selain proses pembersihan dan nyah kuman dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya