Covid-19: JPJ Perlis lakukan proses sanitasi - Utusan Malaysia

Covid-19: JPJ Perlis lakukan proses sanitasi

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis melakukan proses sanitasi di ibu pejabat JPJ Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri hari ini melakukan sanitasi di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis selepas seorang pelanggan lelaki yang berurusan di situ pada 24 Julai lalu disahkan positif Covid-19.

Operasi nyah cemar di dua blok pejabat yang terletak di Jejawi di sini melibatkan 12 anggota bomba bermula pukul 7.15 pagi dan berakhir sejam kemudian.

Individu tersebt dilaporkan berurusan di kaunter pembaharuan lesen di pejabat itu sekitar pukul 9 pada hari berkenaan.

Pengarah JPJ negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar semalam bagi memaklumkan mengenai individu berkenaan yang positif Covid-19.

Katanya, pelanggan terbabit merupakan pelanggan ke-61 pada hari itu telah melakukan pemeriksaan suhu dengan bacaan 36.9 celcius serta menggunakan cecair pembersih tangan sebelum dibenarkan masuk ke ruang menunggu kaunter bahagian perlesenan.

“Terdapat dua kakitangan yang mempunyai kontak sementara dengan pelanggan tersebut iaitu seorang dari Unit Komunikasi Korporat manakala seorang lagi dari Bahagian Perlesenan jabatan itu.

“Kedua-dua kakitangan ini telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam dan keputusannya adalah negatif. Oleh itu, mereka tidak dikuarantin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, proses sanitasi tersebut dibuat di Bahagian Pendaftaran dan Perlesenan serta Bahagian Penguat Kuasa iaitu bahagian yang mempunyai kaunter dan ruang menunggu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN