Corak kuda belang hiasi lintasan pejalan kaki automatik - Utusan Malaysia

Corak kuda belang hiasi lintasan pejalan kaki automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lintasan pejalan kaki bukan sahaja memudahkan orang ramai menyeberangi jalan, malah lebih penting menyedarkan pengguna kenderaan agar prihatin ketika melalui kawasan tersebut.

Melihat faktor tersebut, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil langkah proaktif mengecat semula lintasan pejalan kaki di Jalan Merdeka, Bandar Hilir, di sini menyerupai corak kuda belang.

Garisan lintasan sepanjang 24 meter dan lebar enam meter berhadapan Dataran Pahlawan dan Mahkota Parade itu juga bagi menarik perhatian pemandu dan penunggang motosikal supaya lebih berwaspada.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, lintasan pejalan kaki baharu itu merupakan Sistem Pejalan Kaki Automatik (SiPKA) yang menekankan aspek orang kurang upaya (OKU).

Katanya, projek inovatif dan kreativiti yang mengabungkan Teknologi ‘Wireless Pedestrian Detection’ (WPD) itu ditambah dengan sinar inframerah dalam teknologi lampu isyarat bagi menggantikan sistem ‘push button’.

“Kehadiran pejalan kaki di situ dikesan secara automatik tanpa mereka perlu menekan ‘push button’ di lampu isyarat, malah SiPKA juga dilengkapi dengan ‘pelican crossing’, ‘LED Bar Pedestrian’ dan ‘stop line’,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, projek tersebut juga merupakan sebahagian daripada Rancangan Tempatan MBMB 2035 di bawah teras infrastruktur dan bandar pintar yang merangkumi aspek ‘smart living’.

Selain di Jalan Merdeka, antara lokasi lain yang dalam proses di naik taraf termasuklah berhadapan Menara Taming Sari, Universti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kampus bandar, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Kubu dan Jalan Ong Kim Wee. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN