JOHOR BAHRU: ‘Muafakat membawa berkat.’
Demikian peribahasa sesuai menggambarkan kesepakatan penduduk Kampung Sepakat Baru, Skudai yang bersemangat menghias kediaman masing-masing dengan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan 2020.
Ahli Jawatankuasa Majlis Permuafakatan Kesejahteraan Kampung Sepakat Baru, Azmi Basiran berkata, meskipun dilanda pandemik Covid-19, keadaan itu tidak menghalang mereka berbuat demikian sebagai tanda sayang kepada tanah air.
Malah katanya, ia bertambah meriah apabila kesemua 207 keluarga tanpa mengira kaum mengambil bahagian dalam suasana penuh harmoni.
“Kempen kibar Jalur Gemilang pada tahun ini cukup berbeza dan luar biasa. Kami hanya meletakkan syarat agar penduduk menggantung dua helai bendera Malaysia sahaja di luar rumah mereka sebagai tanda sokongan terhadap kempen ini.
“Namun, kita dapati ada yang mengambil inisiatif menghias rumah dengan menggantung bendera keliling rumah serta membuat dekorasi kreatif seperti hiasan bunga raya, wau bulan dan kuda kepang yang diperbuat daripada barangan terpakai.
“Malah, ada juga yang berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk menghias rumah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Melihat kepada sambutan itu kata Azmi, beliau merancang untuk memberi anugerah kepada hiasan rumah tercantik sebagai menghargai usaha dan penat lelah para penduduk.
Seorang penduduk, Salasiah Zabri, 55, berkata, dia sanggup menghabiskan kira-kira RM500 semata-mata untuk menghias rumah dengan bendera tersebut.
Katanya, dia juga mengubah bunga raya yang diperbuat daripada plastik manakala suaminya menghasilkan wau bulan sebagai simbolik identiti Malaysia bagi mencantikkan lagi suasana.
Sementara itu, M. Krishnamuthy, 60, berkata, keghairahan jiran-jiran menghias rumah dengan menggantung Jalur Gemilang turut menarik minatnya untuk melakukan perkara sama.
“Sebagai penduduk kampung, kita perlu seiring dan bersatu hati barulah dapat hidup dalam keadaan masyarakat majmuk dan harmoni. Sebelum ini pun saya turut terlibat dalam memeriahkan sambutan hari kemerdekaan,” tambahnya.
Bagi Chong Chin Wong, 64, pula, kemeriahan meraikan hari kemerdekaan harus dikekalkan dan diteruskan dengan penglibatan lebih ramai golongan muda.
“Apa dibuat ini amat baik, sayang sekali jika kemeriahan ini tidak diteruskan tahun hadapan. Kempen ini secara tak langsung membangkitkan rasa cinta kepada negara,” katanya. – UTUSAN