ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang mewakili 200 penduduk dan peniaga memfailkan saman sivil lebih RM1.5 juta terhadap pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh di Napoh, Nezar Mohamed Shabur Batcha di Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini.
Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Cake selaku plaintif mengemukakan saman sivil itu kepada defendan, Nezar, 57, yang menjadi pencetus Covid-19 bagi Kluster Sivangga di Napoh dan negeri ini sebelum merebak ke Perlis dan Pulau Pinang.
Menurutnya, penularan kluster itu menyebabkan penduduk dan peniaga di Napoh menghadapi banyak kesulitan termasuk kehidupan dan ekonomi mereka terjejas terutamanya selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKP) secara pentadbiran.
Selain itu, katanya, beberapa penduduk pula disahkan positif kluster itu dan mendapat rawatan di hospital dan kebanyakan mereka terpaksa menjalani kuarantin di rumah.
“Pihak Cake bertindak sebagai plaintif membuat beberapa tuntutan tuntutan terhadap defendan seperti membayar wang pampasan RM1.5 juta, ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi meruncing dan ganti rugi normal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memfailkan saman sivil tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini. – UTUSAN