Bukti sayang Kandapan kepada Malaysia - Utusan Malaysia

Bukti sayang Kandapan kepada Malaysia

M. KANDAPAN di hadapan rumahnya di Bandar Seri Alam, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemasangan Jalur Gemilang  berukuran 4.2 meter dan kibaran 5,000 bendera di sekeliling kediaman merupakan bukti semangat patriotik seorang rakyat terhadap tanah air dicintainya. 

Perkara itu diluahkan ahli perniagaan, M. Kandapan, 60, dalam majlis Sambutan Hari Kebangsaan kali ke-63 yang diadakan di kediamannya di Bandar Seri Alam di sini hari ini. 

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia tidak melunturkan semangatnya untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini. 

“Ketika pandemik ini bermula, saya membayangkan hanya akan membuat sambutan secara sederhana namun sebaliknya berlaku.

“Tidak disangka sambutan tahun ini antara yang paling meriah, dengan berdirinya bendera Jalur Gemilang gergasi di hadapan rumah saya,” katanya.

Majlis sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan. 

Jelas Kandapan lagi, beliau mengambil masa lebih sebulan untuk menghias bukan sahaja kediamannya tetapi juga kenderaannya untuk sambutan tahun ini. 

“Masa dan wang ringgit yang digunakan tidak boleh disamakan dengan semangat cintakan negara. 

“Saya akan terus melakukan perkara ini dengan harapan dapat memupuk semangat cintakan negara dalam diri generasi muda,” ujarnya. 

Sementara itu, Kandapan turut meluahkan kekecewaannya dengan segelintir pihak yang sengaja menggantung bendera Jalur Gemilang secara terbalik. 

“Apabila situasi sedemikian berlaku, saya berasa sakit hati dan sangat kecewa. Sekiranya mereka merupakan rakyat Malaysia, tidak mungkin mereka tidak tahu kedudukan sebenar bendera negara,” ujarnya lagi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya