MELAKA: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengesyorkan pembinaan lebih banyak tembok penahan ombak bagi mengelak hakisan lebih serius di sepanjang pantai Melaka.
Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah berkata, hakisan yang berlaku bagaimanapun masih terkawal berbanding di negeri lain.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau kejadian yang berlaku bagi memastikan ia tidak memberi impak besar kepada nelayan tempatan.
Katanya, pembinaan tembok penahan ombak di pantai terlibat memerlukan peruntukan tinggi dan memakan masa.
“Pembinaan tembok adalah langkah terbaik ketika ini berbanding menambak semula pasir di pantai terjejas yang mampu bertahan lima hingga enam tahun sebelum pasir-pasir tersebut terhakis semula.
“Tetapi, tidak semua kawasan sesuai untuk pembinaan tembok kerana menurut nelayan, kawasan berbatu menjejaskan ekosistem hidupan marin seperti udang geragau. Banyak pertimbangan perlu diambil
bagi mengurangkan impak hakisan pantai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini semalam melaporkan, beberapa pinggir pantai di negeri ini direkodkan semakin ‘mengecil’ kesan hakisan tiga hingga ke empat meter setiap tahun disebabkan faktor alam semula jadi dan kerancakan aktiviti penambakan laut untuk pembangunan berskala tinggi di negeri ini.
Daratan sepanjang lebih 40 kilometer itu terutama di perairan Melaka Barat paling terjejas dan semakin terhakis kesan badai ombak laut serta muka buminya yang terdedah kepada Selat Melaka.
Fenomena itu mengundang kebimbangan kira-kira 300 nelayan yang menangkap ikan di perairan tersebut apabila jeti dan pondok tempat pendaratan ikan di situ hanya menunggu masa untuk ‘lenyap’ ditelan laut.
Abdul Hakim berkata, pihaknya sudah mencadangkan kerja-kerja membaiki pantai terjejas dan membina lebih banyak tembok kepada kerajaan dalam Rancangan Malaysia
Ke-12 (RMK-12).
Kata beliau, tembok penahan ombak berukuran 50 hingga 100 meter panjang perlu dibina pada jarak setiap 50 meter di pantai-pantai yang berdepan hakisan.
“Kami juga menerima cadangan agar tembok-tembok tersebut yang menganjur dari daratan hingga ke laut dibina dalam bentuk ‘L’ atau ‘T’ bagi memaksimumkan fungsinya memperlahankan ombak kuat,”
katanya. – UTUSAN ONLINE