KANGAR: Pasangan suami isteri cacat penglihatan dari Kampung Padang Pauh di sini bersyukur apabila hasrat mereka untuk melaksanakan ibadah korban tahun ini tercapai.
Pasangan itu, Noor Jasmee Othman, 64, dan suaminya, Remli Abas, 61, melakukan ibadah tersebut bersama peserta lain di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini semalam.
Noor Jasmee yang pertama kali melaksanakan ibadah tersebut bersyukur kerana diberi peluang turut melakukan ibadah korban di masjid itu.
“Saya menyertai ibadah korban tahun ini dengan membuat bayaran ansuran menerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender Perlis (Rumah Lavender).
“Saya teruja dan gembira kerana akhirnya hasrat melakukan ibadah itu dapat dicapai tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penyembelihan dan melapah daging di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini.
Sementara itu, Pengerusi Rumah Lavender, Tuan Marja Tuan Mat berkata, pihaknya dengan kerjasama Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail menguruskan enam ekor lembu dan dua kambing untuk ibadah korban kali ini.
“Seramai sembilan daripada 44 peserta ibadah korban di masjid ini adalah golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dari Rumah Lavender.
“Namun, ibadah korban tahun ini kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana hanya petugas projek korban dan peserta dibenarkan berada di kawasan penyembelihan dan memproses daging berikutan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE