KANGAR: Golongan remaja di negeri ini digalakkan menyertai Rejimen Askar Wataniah yang menawarkan pelbagai keistimewaan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara keistimewaan menyertai pasukan itu ialah mereka boleh menerima elaun latihan tempatan berjumlah RM6 sejam, elaun perjalanan, elaun latihan khemah tahunan dan sagu hati tahunan bernilai RM520.
“Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, peluang seseorang itu untuk dikerahkan bagi tugasan sepenuh masa atau diserap menjadi anggota tetap Tentera Darat adalah lebih baik apabila menyertai pasukan Askar Wataniah.
“Bagaimanapun, ini bergantung jika mereka ini memenuhi semua terma dan syarat yang ditetapkan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Ibadah Korban Peringkat Rejimen 504 Askar Wataniah (R504AW) di pekarangan Platun Kenderaan, Kem Bukit Keteri, Beseri di sini hari ini.
Sementara itu, baginda menyeru semua anggota Rejimen Askar Wataniah supaya sentiasa meningkatkan keaktifan masing-masing dengan hadir menjalani latihan setiap kali ia diadakan.
“Bersedialah untuk menghadiri sebarang kursus bagi meningkatkan lagi ilmu pengetahuan sekali gus melayakan diri untuk kenaikan pangkat,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE