PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu disahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali menerusi kenyataan akhbar.
Menurut Mohd. Zuki, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Abdul Ghani sebagai Pengerusi SPR.
Katanya, pelantikan itu mengikut Fasal (1) Perkara 114, Perlembagaan Persekutuan iaitu bermula hari ini sehingga usianya mencapai 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Mohd Zuki turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus dilantik sebagai Ahli SPR berkuat kuasa tarikh yang sama.
“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.
“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” katanya.
Pada 9 Julai lalu, SPR mengesahkan Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun meletak jawatan berkuasa-kuasa 29 Jun lalu.
Menurut SPR, peletakan jawatan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun.
Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 1 Julai 2018. – UTUSAN ONLINE