KEPALA BATAS: Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan negeri menyita sekurang-kurangnya 86 buah mesin air yang dianggarkan bernilai kira-kira RM557,000 dalam operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negeri semalam.
Ketua Unit Cawangan Penguatkuasaannya, Mohd. Wazir Khalid berkata, tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, jumlah mesin yang disita kali ini tinggi berbanding hanya sekitar 48 buah dalam operasi yang hampir sama tahun lepas.
“Kebanyakan pemilik mesin air ini masih berdegil walaupun operasi ini sudah kerap kita lakukan dan saya percaya ada lagi mesin air tidak berlesen yang gagal dikesan setakat ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengetuai operasi tersebut di beberapa lokasi di sini hari ini.
Secara keseluruhannya, kira-kira 100 anggota termasuk beberapa kakitangan penguat kuasa daripada bahagian pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlibat dalam operasi selama hampir enam jam itu dengan setiap 20 anggota ditempatkan di lima daerah berbeza.
Selain tidak memiliki lesen untuk mengendalikan mesin air, kesalahan lain dikesan termasuk tidak meletakkan mesin terbabit di lokasi yang bersesuaian hingga berlaku pencemaran.
Kesemua mesin air disita turut ditampal notis sitaan serta notis makluman meminta pemiliknya berurusan dengan pejabat kesihatan terdekat jika mahu kembali beroperasi selepas ini.
Dalam pada itu, Mohd. Wazir turut mengingatkan pemilik-pemilik mesin air lain supaya segera memohon lesen kerana pihaknya akan terus menjalankan operasi tersebut secara berkala.
“Semua mesin kita akan sita (jika tiada lesen) dan kita tidak akan ‘pilih bulu’ dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN