KUANTAN: Sejumlah 72 sekolah pondok dan pusat tahfiz di Pahang tidak diberikan kebenaran untuk memulakan sesi persekolahan akibat gagal mendaftarkan institusi pengajian berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, sekolah pondok dan pusat tahfiz milik persendirian perlu didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi mendapatkan surat kebenaran memulakan operasi.
Katanya, pendaftaran penting bagi membolehkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan jika timbul pelbagai isu atau kes di sekolah tersebut.
“Kita minta sekolah ini (pondok dan pusat tahfiz) berdaftar segera, kalau mereka tidak berdaftar tetapi hendak buka sekolah dan tiba-tiba ada masalah, siapa akan bertanggungjawab.
“Jadi, kita mahu mereka kemukakan permohonan (pendaftaran) bagi memudahkan bantuan disalurkan jika berlaku masalah, seperti jangkitan Covid-19 yang masih belum terkawal sepenuhnya ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Al Huda, dekat Sungai Isap 2, di sini hari ini.
Syed Ibrahim berkata, antara penyebab sekolah pondok dan pusat tahfiz ini tidak didaftarkan ialah kegagalan pentadbir memenuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa seperti bangunan sekolah yang sempit dan isu sukatan mata pelajaran yang tidak mengikuti saranan pihak JAIP.
“Kita harap mereka (pentadbir sekolah) dapat selesaikan isu pendaftaran ini secepat mungkin dan saya yakin JAIP akan bantu permudahkan urusan permohonan mereka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 577 SAR dan KAFA di Pahang sudah memulakan sesi persekolahan masing-masing sejak dua minggu lalu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan pihak sekolah dalam mencegah penularan Covid-19 seperti saranan kerajaan. – UTUSAN