KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus membanteras kegiatan perjudian secara habis-habisan dengan menumpaskan 61 sindiket perjudian dalam tempoh Januari hingga Julai lalu.
Kesemua sindiket itu ditumpaskan hasil daripada 3,015 serbuan yang dijalankan terhadap premis-premis perjudian di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya turut menahan sebanyak 5,590 individu dan merampas 9,817 peranti elektronik serta wang tunai berjumlah RM1.04 juta.
“Kita telah membuka 240 fail kes dan 185 individu ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POC) sepanjang tempoh tujuh bulan ini. Pada tempoh sama, empat lesen perniagaan telah dibatalkan pihak berkuasa tempatan (PBT) manakala 519 premis dipotong bekalan elektrik.
“Statistik ini membuktikan operasi membanteras kegiatan perjudian haram dipergiatkan pada tahun ini berbanding tahun lalu apabila sebanyak 32 sindiket ditumpaskan untuk 2019,” katanya kepada pemberita di Maktab PDRM di Cheras di sini.
Dalam pada itu, menurut Huzir, sebanyak 4,368 serbuan dilakukan di seluruh negara dengan jumlah rampasan bernilai RM1.31 juta manakala tangkapan pula membabitkan 10,303 individu pada tahun lalu.
Jelas beliau, Selangor, Sarawak, Johor, Sabah dan Kedah mencacatkan jumlah serbuan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.
“Dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, seramai 1,700 individu ditahan di Selangor diikuti dengan Sarawak (1,030), Johor (953), Kuala Lumpur (543), Sabah (416) dan Kedah (265).
“Kita juga mencadangkan agar PBT menyita premis-premis perjudian haram berdasarkan peruntukan undang-undang,” tegasnya. – UTUSAN