2,917 premis jual pelitup muka diperiksa - Utusan Malaysia

2,917 premis jual pelitup muka diperiksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 2,917 premis perniagaan menjual pelitup muka diperiksa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan 31,876 premis perniagaan yang diperiksa di seluruh negeri ini.

“Kita melakukan pemeriksaan terhadap 31,876 premis dan daripada jumlah itu, 2,917 premis perniagaan yang menjual topeng pelitup muka.

“Sebanyak tiga peniaga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda sebanyak RM10,000 setiap seorang,” katanya kepada pemberita dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, pihaknya turut menerima 45 aduan berkaitan pelitup muka sejak pelaksanaan PKP bermula.

“Terdapat 45 aduan berkaitan pelitup muka dengan antara aduan yang dilaporkan tersebut adalah mengenai harga yang mahal dan melebihi harga pasaran.

‘Bagaimanapun, selepas 15 Ogos, kami belum menerima sebarang aduan berkaitan pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap peniaga dapat menjual pelitup muka mengikut harga kawalan yang ditetapkan tanpa menaikkan harga.

“Kami juga menasihatkan peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati. Kami juga mahu pembeli membuat pembelian pelitup muka cukup untuk keperluan dan bukan pembelian panik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN