285 palet kayu masuk tanpa permit - Utusan Malaysia

285 palet kayu masuk tanpa permit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Sebuah lori membawa muatan 285 palet kayu yang tiba dari Singapura ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor semalam kerana masuk tanpa permit import.

Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, lori itu ditahan sebaik sahaja pemeriksaan dilakukan pada pukul 5 petang di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini.

Katanya, semua palet kayu berkenan dianggarkan bernilai RM1,765.97.

“Ketika menjalankan pemeriksaan di laluan import, didapati sebuah lori membawa muatan palet kayu sebanyak 285 unit tanpa permit import Maqis.

“Pemeriksaan mendapati palet kayu berkenaan dibawa masuk ke negara ini untuk kegunaan sebuah kilang elektronik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nur Afifah berkata, palet kayu atau hasilan kayu yang dibawa masuk tanpa permit membawa risiko kepada industri pertanian negara.

“Hal ini kerana terdapat kemungkinan adanya perosak pada konsainan yang dibawa masuk apatah lagi selepas beberapa bulan lalu kami berjaya menahan kelapa kering import dengan perosak yang masih hidup,” ujarnya.

Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Nur Afifah turut memberitahu, pihaknya komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan setiap keluaran pertanian yang diimport mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN