PARIT: Sebanyak 20 ekor lembu ditemukan mati bergelimpangan di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Tareh, Lambor Kanan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian disedari pengadu yang juga penternak lembu berkenaan selepas diberitahu rakannya kira-kira pukul 10 pagi.
“Rakan pengadu memberitahu beberapa ekor lembu miliknya mati bergelimpangan di Ladang Kelapa Sawit, Kampung Sungai Tareh, Lambor Kanan.
“Kira-kira pukul 2 petang, pengadu ke lokasi kejadian dan mendapati sebanyak 20 ekor lembu telah mati bergelimpangan dalam keadaan mulut berbuih dan keluar darah melalui hidung.
“Pemeriksaan oleh pengadu mendapati 19 ekor lembu adalah kepunyaannya manakala seekor lagi belum dapat dipastikan tuan punya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Barudin berkata, kejadian itu kemudian dimaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan tindakan diambil bagi mengenal pasti punca kematian lembu-lembu terbabit.
Mengulas lanjut katanya, kejadian berlaku di sebuah ladang hak milik persendirian seluas kira-kita 1.6 hektar yang baru ditanam anak pokok kelapa sawit pada April 2020.
Katanya, difahamkan penternak berkenan menternak kira-kira 200 ekor lembu secara lepas bebas dan kerugian dialami dianggarkan RM55,000.
“Siasatan lanjut bersama Jabatan Veterinar masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian sama ada disebabkan perbuatan khianat, penyakit atau sebab-sebab lain.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda,” katanya. – UTUSAN