188 penagih dadah wanita ditahan di Terengganu - Utusan Malaysia

188 penagih dadah wanita ditahan di Terengganu

ROSLEE Chik (tengah) mengibarkan Jalur Gemilang dalam programPencegahan Jenayah-Jihad Dadah dan Penghayatan Bulan Kemerdekaan Ke-63 di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Polis Terengganu menahan seramai 188 wanita yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri ini sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 14 tahun hingga 34 tahun dan dipercayai terjebak dengan gejala tersebut akibat pergaulan bebas di samping pengaruh suami yang merupakan seorang penagih.

“Walaupun jumlah penagih wanita di Terengganu belum membimbangkan tetapi kita tidak boleh berada di tahap selesa dan isu ini perlu dipandang serius supaya statistik tidak terus meningkat,” katanya selepas menutup Program Pencegahan Jenayah-Jihad Dadah dan Penghayatan Bulan Kemerdekaan Ke-63 di Kampung Kuala Menjing, di sini hari ini.

Menurut Roslee, polis menggerakkan pelbagai kempen bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dadah, justeru itu sokongan semua pihak adalah penting bagi memastikan masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini dapat diatasi.

Sementara itu, katanya, pelaksanaan program Jihad Dadah yang dirintis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah sejak tahun 2016 terbukti berkesan dan pihaknya turut menambah baik inisiatif berkenaan bagi dimanfaatkan di Terengganu.

“Fasa pertama projek Jihad Dadah Terengganu dilaksanakan di daerah Hulu Terengganu bermula 20 hingga 23 Ogos sempena Penghayatan Bulan Kemerdekaan ke-63,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN