PUTRAJAYA: Polis menahan 127 individu kerana melakukan kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam walaupun perintah itu diwajibkan kerajaan berkuat kuasa semalam.
Mereka adalah antara 315 individu yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah yang ditahan, seramai tiga individu ditahan reman manakala 312 individu pula dikenakan kompaun.
“Kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) sebanyak 38 kes, aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal sebanyak 150 kes dan tidak memakai pelitup muka sebanyak 127 kes,” katanya dalam laporan perkembangan harian terkini Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.
Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis telah membuat 63,473 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.
Sebanyak 3,226 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,327 anggota membuat pemantauan di 3,821 pasar raya, 5,545 restoran serta 1,954 penjaja, 1,326 kilang, 3,602 bank dan 820 pejabat kerajaan.
Turut dipantau sebanyak 1,132 terminal pengangkutan darat, 138 terminal pengangkutan air serta 40 terminal pengangkutan udara.
Ismail Sabri berkata, polis juga membuat 64 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 35,459 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang
asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong-lorong tikus.
“Orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan PATI ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223,” ujarnya.
Menurutnya, sebanyak 10 operasi sanitasi dijalankan semalam meliputi sembilan zon termasuk satu zon kuning dan satu zon merah yang melibatkan tiga buah negeri iaitu Sabah sebanyak enam operasi, Sarawak (tiga operasi) dan Johor satu operasi.
Katanya, operasi sanitasi itu melibatkan 28 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) serta 90 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN