Yang di-Pertua Negeri perkenan DUN Sabah dibubarkan - Utusan Malaysia

Yang di-Pertua Negeri perkenan DUN Sabah dibubarkan

SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Mohd. Shafie berkata, Tun Juhar menyatakan perkenan ketika perjumpaan dengannya pagi tadi.

Ahli Parlimen Semporna dan DUN Senallag itu turut mendakwa beliau masih Ketua Menteri berdasarkan undang-undang dalam Perlembagaan Negeri.

“Dari segi undang-undang saya masih Ketua Menteri dan tiada persoalan dari segi jumlah.  Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri  ada hak dalam Perlembagaan (Negeri)  untuk bubarkan atau tidak. TYT memperakui untuk pembubaran. Itu kuasa mutlak TYT.

 “Saya sedar dari awal saya ada surat akaun bersumpah (SD)  45. Tebal SD saya. Ada tak kuat iman terbeli dan dibeli. Sudah sampai masanya kita pulangkan kepada rakyat Sabah. Saya berharap semua bertenang,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Berdasarkan Artikel 6 (3) Perlembagaan Negeri menyatakan bahawa Yang di-Pertua Negeri akan melantik sebagai Ketua Menteri seorang anggota Legislatif Dewan Undangan di mana dalam pertimbangannya, beliau mendapat kepercayaan majoriti daripada jumlah Dewan dan akan melantik anggota-anggota lain yang disebut dalam Fasal (2) mengikut nasihat Ketua Menteri dalam kalangan anggota Dewan.

Artikel 7 (1)  Perlembagaan Negeri pula menyatakan bahawa jika sekiranya Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti daripada anggota Dewan Legislatif, maka, kecuali atas permintaan Yang di-Pertua Negeri, perlulah membubarkan Dewan dan Ketua Menteri akan meletakkan jawatan bersama ahli-ahli Kabinet.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN