PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kewujudan kluster baharu iaitu Kluster Sentosa melibatkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak.
Kes pertama kluster itu (kes ke-8,773) merupakan petugas kesihatan yang mengalami gejala saluran pernafasan 13 Julai lalu dan dikesan positif Covid-19 pada 19 Julai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan.
Katanya, sehingga semalam, 61 individu telah disaring dengan lima kes positif Covid-19 dan 56 negatif.
“Ini menjadikan kluster itu mempunyai enam kes iaitu lima petugas kesihatan dan satu pekerja syarikat pembersihan. Kesemua kes sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.
“Perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan. Namun, hospital tidak menerima pesakit manakala pesakit luar pula akan dirujuk ke hospital berdekatan buat sementara waktu.
“Langkah membendung dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar harian perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.
Tambah Noor Hisham, situasi Covid-19 kebelakangan ini membimbangkan kerana jumlah kes harian yang dilaporkan terus meningkat, terutama kes penularan dalam negara.
Katanya, jumlah kes aktif kembali melebihi 100 kes pada 19 Julai lalu dan kini mencecah 130 kes.
“Sehingga Julai, jumlah kluster aktif adalah 19 kluster di mana terdapat 13 kluster baharu yang diumumkan dalam 10 hari kebelakangan ini.
“Tiga daripada 13 kluster itu berkaitan dengan penularan tempatan kes Covid-19 daripada kes import iaitu Kluster Individu di bawah pemantauan (PUI) Novgorod, PUI Shirala dan PUI Pitakwa,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Noor Hisham, Kluster Jupiter tidak mengakibatkan penularan tempatan kerana ia melibatkan kluster terpencil dalam sebuah kapal yang sedang berlabuh.- UTUSAN ONLINE