Warung RM1 bantu orang susah - Utusan Malaysia

Warung RM1 bantu orang susah

WARUNG
ZULKIFLI Ismail (kiri) bersama bapanya, Ismail Syawal, 67, serta pekerja mereka di warung Selera D'Bendang di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, Kangar, Perlis. UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Niat mahu meringankan beban pasangan yang mempunyai bilangan ahli keluarga ramai, mendorong seorang pemuda dari Simpang Empat di sini membuka warung makanan dengan menawarkan pelbagai menu pada harga serendah RM1.

Antara menu disediakan adalah nasi ayam, nasi daging, nasi gulai ayam serta daging, bihun sup, mi sup, pulut mempelam, pulut kuning dan cendol.

Berkat niat yang baik, warung dibina di tepi sawah Kampung Sungai Padang, Simpang Empat itu, menerima sambutan hangat sejak dibuka pada Januari lalu.

Malah, perniagaan yang beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 6 petang tersebut turut menarik pelancong dari luar negara singgah menikmati hidangan dijual.

Menurut Zulkifli Ismail, 39, warungnya yang dibantu sembilan pekerja itu pernah dikunju­ngi pelancong England dan Ireland sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, pelaksanaan PKP walaupun menjejaskan perniagaannya pada peringkat awal, namun warungnya masih dikunjungi pelanggan.

“Semasa saya buka warung ini, saya berniat untuk membantu mereka yang mempunyai ahli keluarga besar supaya dapat keluar makan bersama tanpa risau terpaksa berbelanja lebih.

“Kadang-kadang pengunjung rombongan bas ke Langkawi singgah makan di warung ini. Ada juga pelanggan datang dari Sarawak kerana mahu mencuba laksa utara yang kami sediakan,” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu, jumlah pelanggannya meningkat pada hujung minggu sehingga mereka tidak ‘menang tangan’ menyediakan hidangan.

“Beras sahaja sebanyak 80 kilogram dimasak pada hujung minggu berbanding 40 kilogram pada hari biasa. Kalau untuk sup pula, satu periuk untuk 300 orang itu kami kena masak sehingga empat kali kerana permintaan yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu tambahnya, dia bercadang untuk memper­kenalkan menu baharu set ikan, ayam dan daging bakar pada harga serendah RM4.99 menje­lang akhir tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya