SUNGAI PETANI: Pasangan warga emas dan tiga cucu mereka nyaris terperangkap dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Kongsi Enam, Bedong dekat sini lewat tengah malam tadi.
Warga emas terbabit, Mustaffa Ahmad, 76, dan isterinya, Che Wan Ramli, 68, sempat mengejutkan tiga cucu mereka berusia empat hingga 16 tahun yang sedang tidur dalam sebuah bilik ketika api mula marak kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Menurut Mustaffa, dia yang baru masuk tidur terkejut dan cemas apabila melihat percikan api dan selepas itu api mula marak dari bilik tiga cucunya yang sedang tidur itu.
“Saya dan isteri serta tiga cucu bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri sebelum api marak,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mustaffa memberitahu, dia selepas itu juga mengejutkan anak lelakinya, Hussin, 51, dan menantu, Salina Osman, 53, yang tinggal bersebelahan dan meminta mereka keluar dari rumah dengan segera kerana rumah anaknya itu turut disambar api.
Katanya, kedua-dua itu yang dibina daripada papan terletak bersebelahan dengan jarak hanya dua meter sahaja antara satu sama lain.
“Saya bersyukur semua ahli keluarga terselamat dalam kebakaran itu dan kami ditempatkan sementara di Dewan UMNO Datuk Haji Arzmi Abdul Hamid di kampung ini,” katanya.
Menurut Mustaffa, dua buah kereta iaitu Proton Waja dan Perodua Axia serta sebuah motosikal jenis Modenas Kriss milik anaknya turut terbakar dalam kejadian itu.
Sementara itu, Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Pegawai Bomba Kanan 2, Nordin Arshad memberitahu, seramai 14 anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 12.48 tengah malam dan berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 10 minit kemudian.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE