BATU PAHAT: Seorang wanita maut manakala adiknya parah apabila kereta dinaiki mereka merempuh belakang lori dalam kejadian di Kilometer 98.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Arah Selatan, pagi ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Zakaria Mohamed berkata, dalam kejadian puku 7.54 pagi itu, pemandu kereta, Siti Sarah Mohammad Ali, 27, maut di tempat kejadian.
“Adiknya, Siti Nurfarhana, 24, pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) cedera parah.
“Punca kemalangan dipercayai akibat Proton Persona dipandu mangsa telah merempuh belakang lori jenis Fuso yang diletakkan di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, akibat rempuhan, kedua-dua beradik itu tersepit dan pihak bomba telah menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mereka.
“Enam anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya.
Zakaria berkata, pemandu lori berusia 33 tahun, tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN
