UMNO tidak akan sertai Perikatan Nasional - Utusan Malaysia

UMNO tidak akan sertai Perikatan Nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO masih menyokong kerajaan hari ini namun tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai komponen seandainya ia didaftarkan secara rasmi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin hari ini hanya berlandaskan sokongan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO serta Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan Pusat dan negeri.

Beliau berkata, fokus parti kini adalah untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan komponen BN.

Ujar Ahmad Zahid lagi, Perdana Menteri juga sudah menyatakan hasrat Parti Pribumi Malaysia Bersatu (Bersatu) menyertai MN.

“Muhyiddin dalam pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

“Hasrat Bersatu itu akan dibincangkan dengan pihak Pas untuk diperhalusi.

“Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan Pas memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya adakah keputusan yang dibuat itu disebabkan sabitan bersalah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahmad Zahid enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada pihak media untuk membuat rumusan.

“Itu terpulang kepada saudara-saudara pengamal media untuk melakukan interpretasi,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN