UMNO terbuka menerima sesiapa sahaja - Mohamed Khaled - Utusan Malaysia

UMNO terbuka menerima sesiapa sahaja – Mohamed Khaled

MOHAMED Khaled Nordin menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta kejohanan dalam Majlis Makan Malam Undian Kejohanan Piala Yaysan Pasir Gudang Mobile Legend Bang Bang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: UMNO sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja menyertai parti tersebut dan ruang itu juga diberikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun perkara itu masih belum dibincangkan di dalam parti, namun beliau menyedari Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu sebelum ini telah dipecat dan bukannya melompat ke parti lain.

Katanya, situasi ahli-ahli yang keluar UMNO adalah berbeza dengan mereka yang dipecat oleh parti.

“Ahli-ahli melompat parti mereka buat pilihan sendiri untuk keluar UMNO. Oleh itu, jika hendak masuk UMNO, mereka akan melalui proses berbeza.

“Kalau semua sama, jenis suka lompat ini dia ingat boleh masuk balik. Daripada sejarah, orang yang suka lompat, dia memang suka lompat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Undian Kejohanan Piala Yayasan Pasir Gudang Mobile Legend Bang Bang di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan supaya Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO setelah perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan disokong Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Malah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam temu bual dengan sebuah portal dipetik berkata, parti boleh mengubah keputusan pemecatan Muhyiddin pada 2016 dan menerimanya semula ke dalam UMNO.

Muhyiddin adalah Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat dan beliau kemudian mengasaskan Bersatu.

Mohamed Khaled berkata, UMNO sebagai parti politik sentiasa mengkaji kedudukannya dalam mana-mana platform politik termasuk Perikatan Nasional (PN).

“Ia bukan hanya melibatkan kes Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO). Seperti sebelum ini, terdapat suara-suara supaya kita sentiasa melihat dan mengkaji serta mengukur di mana kedudukan UMNO dalam PN,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, UMNO masih berpegang kepada persetujuan sebelum ini iaitu PN merupakan gabungan ahli-ahli Parlimen daripada parti tertentu untuk menjayakan kerajaan di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN