UMNO giat lunas hutang tertunggak  - Utusan Malaysia

UMNO giat lunas hutang tertunggak 

TENGKU Adnan Tengku Mansor (tengah) dan Dr. Aminuddin Hassim bersama penduduk Perumahan Penjawat Awam bersemangat melaungkan 'Merdeka' di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO kini dalam proses membayar hutang piutangnya yang tertunggak selama dua tahun sejak akaun parti itu dilepaskan mahkamah daripada sitaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjumlah RM192 juta.

Wang berkenaan akan digunakan untuk tujuan pembayaran gaji kakitangan, pembekal program parti, peruntukan pergerakan sayap, kegunaan perhubungan UMNO negeri dan lain-lain lagi.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan itu diambil berikutan pihaknya merupakan sebuah parti yang berstruktur dan bertanggungjawab.

Malah, UMNO juga mempunyai pelbagai program yang memerlukan pembiayaan sama ada sebelum atau selepas akaun parti disita.

“Apa yang kita hutang, kita akan bayar kerana kita ada hutang-hutang itu. Jadi, kita terpaksa bayar. Bayaran itu kini dalam proses,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Merdeka Community Bonding Perumahan Penjawat Awam Fasa 14-7, Presint 14 di sini.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan wakil pengurusan tertinggi Jabatan Penerangan, Mohd. Aszahari Abdul Rahman.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman kerajaan untuk melucut hak terhadap RM192 juta yang didakwa berkaitan dengan dana 1 Malaysia Development Bhd. (1MDB) daripada UMNO.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak saman melucut hak itu ketika permulaan prosiding berkenaan.

Mohamed Zaini memutuskan baki wang di dalam akaun bank UMNO pada Mei 2019 tidak berkaitan dengan sebarang duit yang didakwa didepositkan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

UMNO adalah antara 41 entiti dan individu yang dikenakan saman pelucutan hak dari SPRM untuk mendapatkan sejumlah RM270 juta wang yang didakwa berkaitan dengan 1MDB. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya