PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) akan berbincang dengan kem Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menentang gabungan Perikatan Nasional (PN).
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu mengambil kira kerusi Slim ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kami buat keputusan untuk berbincang dahulu dengan kumpulan Tun Mahathir kerana mereka (Bersatu) bertanding sebelum ini. Kenyataan Setiausaha Agung (Datuk Marzuki Yahya) tidak tempat bahawa kami serahkan kepada mereka, tidak.
“Kedudukan kami ialah, kita berbincang dengan mereka dan tanya kedudukan mereka dan saya fikir. Selasa nanti PH akan bertemu dengan mereka dan buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Temuduga Terbuka Hospital UCSI di Bandar Springhill di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan kenyataan Marzuki bahawa kumpulan daripada kem Dr. Mahathir akan bertanding dalam PRK DUN Slim menentang calon PN.
Ia selepas dakwanya, seorang ahli Majlis Presiden PH memberitahu bahawa gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding pada PRK itu nanti.
Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang pada 15 Julai lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU-14, Mohd. Khusairi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd. Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.
Sementara itu, menurut Anwar, masalah pengangguran yang didepani negara ketika ini tiada kaitan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Tiada kaitan dengan PRU atau tidak, kerajaan yang ada perlu bertanggungjawab jelaskan dasar, biar jelas, angka biar jelas, jadi saya bangkitkan di Parlimen angka itu tidak jelas.
“Pengangguran saya lihat angka ini tidak realistik, jumlah pengangguran ini tidak mengambil kira mereka yang diberi cuti tanpa gaji, jumlahnya besar, soal PRU ini soal kerajaan, keputusan Perdana Menteri,” katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini menyuarakan kebimbangan negara akan berdepan pengangguran paling tinggi sehingga mencecah dua juta orang menjelang Oktober ini.
Katanya, ini berikutan dua masalah besar dihadapi negara ketika ini termasuk situasi politik negara tidak stabil dan pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Bagi mengatasi masalah itu, beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, PRU-15 perlu diadakan supaya rakyat boleh membuat pilihan. – UTUSAN ONLINE