KUALA TERENGGANU: Kalangan pemancing dan pengendali dron melahirkan rasa tidak puas hati terhadap larangan memancing dan aktiviti dron yang dikuatkuasakan di sekitar mercu tanda
ikonik Terengganu, jambatan angkat (drawbridge) di sini bermula semalam.
Tindakan drastik itu dianggap tidak adil buat mereka kerana aktiviti tersebut banyak membantu merancakkan industri pelancongan di negeri ini khususnya mempromosikan jambatan angkat.
Wakil Kelab Tanjung Angler Fish Hunter (TAFH), Mohd. Yusazmie Yahya berkata, tidak sepatutnya golongan pemancing dijadikan sasaran sekiranya larangan tersebut berpunca sampah dan kekotoran yang ditinggalkan.
Katanya, TAFH selama ini aktif dalam aktiviti pembersihan di sekitar jambatan angkat dan pihaknya percaya sampah sarap itu berkemungkinan ditinggalkan pengunjung yang datang beriadah.
“Kawasan jambatan angkat menjadi tumpuan kaki pancing termasuk dari luar Terengganu kerana perairannya banyak ikan sehingga menarik pemancing profesional ke negeri kita.
“Oleh itu, TAFH memohon Datuk Bandar menarik larangan dan semestinya tidak adil kepada kami yang bersama-sama menjaga kebersihan kawasan itu dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya dalam catatan yang tular dalam laman sosial semalam.
Isu ini terus hangat diperkatakan netizen selepas gambar papan tanda larangan kedua-dua aktiviti itu tular dalam media sosial sejak semalam.
Sementara itu, pengendali laman Facebook Amazing Terengganu berkata, larangan menerbangkan dron disifatkan berundur ke belakang dan boleh merencatkan usaha mempromosikan
pelancongan di negeri ini. – UTUSAN ONLINE