MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menafikan penularan audio di aplikasi WhatsApp kononnya beberapa warga asing didapati positif Covid-19 di terminal pengangkutan awam, pasar dan bazar Melaka Sentral, di sini semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ismail Ali berkata, penumpang terlibat merupakan keluarga warga tempatan yang pulang dari luar negara kelmarin melalui Pintu Masuk Antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
“Semua ahli keluarga berkenaan juga disahkan negatif ujian Covid-19 semasa menjalani saringan kesihatan di KLIA dan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam perjalanan balik bagi menjalani kuarantin di rumah.
“Rakaman suara dan gambar tular di WhatsApp itu diambil secara rambang oleh individu tidak dikenali, dan JKNM ingin menjelaskan bahawa kandungan rakaman suara terbabit tidak benar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr. Ismail berkata, laporan polis telah dibuat bagi menyiasat perkara itu dan orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.
Untuk maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau e-mel [email protected].
Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara berdurasi satu minit 20 saat dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral. – UTUSAN ONLINE