KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Terengganu hari ini menafikan terdapat seorang pesakit Covid-19 di Kampung Padang Jambu, Dungun seperti tular di media sosial.
Pengarahnya, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, berita yang tular melalui Facebook itu tidak benar kerana tiada kes pandemik itu dikesan di lokasi berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pihak Pejabat Kesihatan Dungun ada menerima notifikasi seorang remaja perempuan yang mempunyai gejala Influenza Like Illness (ILI) pada 19 Julai lalu.
“Remaja itu telah diberikan rawatan dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu untuk pemantauan lanjut.
“Ujian PCR bagi pengesanan Covid-19 telah dijalankan dan hasil keputusan yang diperolehi pada 21 Julai adalah negatif,” katanya dalam kenyataan di sini.
Nor Azimi berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan masyarakat dalam mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penularan Covid-19 di negeri ini sekali gus meminta mereka meningkatkan kawalan kendiri serta tidak berasa selesa dan alpa terdapat risiko jangkitan pandemik itu dalam komuniti.
Beliau turut menasihatkan orang ramai mendapatkan sumber berita yang sahih sebelum menyebarkannya agar tidak menimbulkan kegusaran dan suasana panik dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan sehingga 31 Ogos ini di samping membudayakan amalan 3S/3C dan 3W sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE