Tetak lembu korban, buruh didenda RM30,000 - Utusan Malaysia

Tetak lembu korban, buruh didenda RM30,000

ADNAN Muhammad didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Besut, Terengganu kerana mendera seekor lembu dengan menetaknya menggunakan sebilah parang. - UTUSAN/ROSALINDA MD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang buruh didenda RM30,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendera dengan menetak seekor lembu korban milik sepupunya menggunakan sebilah parang. 

Hakim, Wan Azimah Yaacob menjatuhkan hukuman itu selepas Adnan Muhammad, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Wan Azimah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun jika gagal membayar denda tersebut. 

Mengikut kertas pertuduhan, Adnan didakwa dengan kejam mendera hingga menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya terhadap lembu ternakan milik Mohd. Jamil Omar, 56. 

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di tepi kandang di rumah sepupunya di Kampung Gerai Muda, Jerteh di sini, kira-kira pukul 6 pagi, kelmarin. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd. Shahihan Mohd. Tahar mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda antara RM20,000 dan RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Wan Azimah ketika membacakan keputusan itu menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

Malah, katanya, ia bukan sahaja memberi kesan kepada haiwan tetapi juga menimbulkan kegusaran terhadap orang awam. 

Lembu jantan baka tempatan berusia dua tahun seberat 150 kilogram itu dilaporkan ditetak di bahagian punggung serta kepala dan kini dirawat di Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Besut. 

Difahamkan lembu itu akan dijadikan korban oleh pemiliknya sempena Hari Raya Aidiladha ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya