Tembak: Tokan dadah dipercayai lari ke utara - Utusan Malaysia

Tembak: Tokan dadah dipercayai lari ke utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tokan dadah yang melarikan diri selepas kenderaan dinaikinya ditembak polis di tepi jalan besar Kepong menghala Jinjang di sini semalam, dipercayai berada di utara tanah air.

Bagaimanapun, lokasi sebenar suspek berusia 41 tahun itu belum dikenal pasti.

Setakat ini, risikan masih dibuat bagi mengetahui di mana lokasi sebenar suspek itu berada, kata sumber kepada Utusan Malaysia  hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, dua das tembakan dilepaskan terhadap suspek selepas dipercayai cuba melarikan diri ketika ditahan polis. 

Ujarnya, suspek yang menaiki Toyota Yaris diekori anggota dan pegawai berpakaian preman daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kuala Lumpur dari Taman Tun Dr. Ismail.

“Tiba di tepi jalan besar di Kepong, dua kenderaan polis mengepung bahagian hadapan dan belakang kenderaan dinaiki suspek.

“Seorang pegawai kemudiannya meluru ke kenderaan suspek, cuba memperkenalkan diri sebagai anggota polis namun, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif serta cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mazlan, disebabkan mahu mempertahankan diri, dua das tembakan dilepaskan ke arah tayar belakang kenderaan suspek.

“Pegawai polis terbabit juga bertindak demikian untuk memberhentikan kenderaan berkenaan supaya tidak membahayakan keselamatan awam yang berada di situ.

“Semakan awal mendapati nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat kereta sewa dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Kata Mazlan, usaha mengesan suspek diteruskan dan orang ramai yang ada sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana–mana balai polis berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya