Suka-suka selit pistol tembak cicak belakang badan - Utusan Malaysia

Suka-suka selit pistol tembak cicak belakang badan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang tular selepas menyelitkan sepucuk pistol di belakang badannya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, diberkas polis awal pagi ini.

Suspek berusia 35 tahun itu diberkas polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) di pos pengawal keselamatan kondominium di Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, tangkapan dilakukan selepas polis melihat gambar lelaki terbabit yang dimuat naik di laman sosial Facebook petang semalam.

Beliau berkata, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek yang juga pengawal keselamatan di kondominium berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati, senjata tersebut adalah pistol tiruan atau pistol tembak cicak yang dibelinya RM70 di kedai runcit di Tanjung Tokong, Mei lalu. 

“Suspek mendakwa, tindakannya menyelit pistol di belakang badan semasa menunggang motosikal hanya suka-suka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Soffian, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan jenayah. 

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN