KUALA LUMPUR: Sebuah stor peralatan komputer di Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati musnah dalam kebakaran di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.22 pagi sebelum tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Wangsa Maju dan Setapak dihantar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati kebakaran itu memusnahkan 30 peratus sebuah bangunan kedai dua tingkat.
“Walau bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal sembilan minit kemudian dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Tambah kenyataan itu, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.- UTUSAN ONLINE