SPRM gagal bukti duit Kasitah ada kaitan dana 1MDB - Utusan Malaysia

SPRM gagal bukti duit Kasitah ada kaitan dana 1MDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal `merampas’ wang sebanyak RM100,000 daripada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam yang dikatakan hasil penyelewengan dana syarikat 1Malaysia Development Malaysia (1MDB).

Ini berikutan pihak pendakwaan yang mewakili SPRM selaku pemohon, gagal menunjukkan duit di dalam akaun Kasitah yang dinamakan sebagai responden adalah wang sama yang diseleweng daripada dana 1MDB.

“Tidak dinafikan Tan Sri Kasitah Gaddam menerima wang sejumlah RM100,000 yang dikeluarkan daripada akaun Datuk Seri Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak)  melalui cek bertarikh 2 Februari 2012 dan didepositkan ke dalam akaun miliknya (Kasitah).

“Bagaimanapun, pemohon sekadar menunjukkan terdapat wang sejumlah RM100,000 dalam akaun responden tetapi tidak menunjukkan bukti bahawa wang tersebut adalah wang hasil aktiviti haram,” kata Pesuruhjaya Kehakiman, Ahmad Shahrir Mohd. Salleh di sini hari ini.

Sehubungan itu, mahkamah tidak dapat menolak kemungkinan wang RM100,000 dalam akaun responden adalah wang pencen Kasitah.

Kasitah sebelum itu menghujahkan bahawa wang yang dirampas oleh SPRM adalah wang pencennya dari Januari 2015 hingga Jun 2018 bernilai antara RM12,849.47 dan RM14,186.82.

“Responden menerima wang sebanyak RM100,000 daripada Datuk Seri Najib pada 2 Februari 2012 dan akaunnya telah dibekukan pada 25 Jun 2018 kira-kira enam tahun empat bulan kemudian dan sepanjang tempoh itu pelbagai transaksi telah dilakukan. Bagi tujuan penyitaan, wang yang hendak dirampas mestilah wang yang dikatakan hasil aktiviti haram,” kata Ahmad Shahrir.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide memaklumkan, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan. 

Pada prosiding hari ini, Kasitah diwakili peguam-peguam, Sasila Basri dan Shamilah Ab. Wahab.

Kasitah ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, beliau lega dengan keputusan hari ini yang menunjukkan wang di dalam akaun adalah miliknya.

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dalam satu sidang media tahun lalu berkata, pihaknya memfailkan permohonan untuk melucut hak harta terhadap 41 responden bagi memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan undang-undang itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya