SPR sentiasa bersedia jika ada PRU mengejut - Utusan Malaysia

SPR sentiasa bersedia jika ada PRU mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia untuk berdepan  berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 secara mengejut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Memetik laporan Bernama, Takiyuddin berkata, ia merangkumi perancangan aspek seperti belanjawan, peralatan dan logistik, pembangunan sistem, pengurusan sumber manusia dan latihan kepada petugas.

“Ini adalah penting bagi memastikan pengendalian perjalanan pilihan raya lancar dan sempurna terutamanya dalam tempoh pasca-Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesiapsiagaan SPR bagi menghadapi kemungkinan berlakunya PRU-15 dan perkembangan cadangan mengaplikasikan kaedah pengundian elektronik (e-undi) sebagai alternatif kepada kaedah konvensional.

Takiyuddin berkata,  SPR juga akan mewujudkan lebih banyak pusat mengundi tambahan di  daerah mengundi yang mempunyai bilangan pemilih yang tinggi dan mengemas kini daftar pemilih dari semasa ke semasa.

Kata beliau, bagi memastikan pilihan raya dijalankan dengan adil dan telus, SPR akan meneruskan penambahbaikan terhadap proses pilihan raya seperti  dilaksanakan dalam pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU-14.

“Pada masa ini, proses perjalanan pilihan raya akan disesuaikan mengikut Garis Panduan Pencegahan Covid-19 selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dikuatkuasakan kerajaan dan dilaksanakan semasa PRK Dewan Undangan Negeri Chini,” katanya.

Sementara itu, mengulas cadangan pelaksanaan e-undi dalam pilihan raya, beliau berkata, SPR sedang mengadakan libat urus dengan semua pihak yang terlibat dari dalam dan luar negara bagi meneliti kesesuaian kaedah pengundian tersebut.

Katanya, penggunaan kaedah itu melibatkan beberapa cabaran baharu khususnya berkaitan isu-isu kerahsiaan, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya