Skim SPN bantu belia kembali bekerja - Utusan Malaysia

Skim SPN bantu belia kembali bekerja

FADILLAH Yusof (tengah) bersama Reezal Merican Naina Merican (kiri) dan M. Saravanan memukul gong merasmikan Skim Perantisan Nasional 2020 di Menara Kementeria Belia dan Sukan (KBS), Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Program Skim Perantisan Nasional (SPN) diperkenalkan kerajaan bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, malah mampu membantu belia yang terjejas akibat pandemik Covid-19 kembali bekerja.

Program inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian pasca penularan Covid-19 itu diterajui Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerja Raya.

Ia memberi pengalaman bekerja kepada belia dan meningkatkan kemahiran mereka dalam dunia pekerjaan sebenar.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyambut baik program itu berkata, kementeriannya memperuntukkan RM70 juta bagi meningkatkan lagi industri dalam sektor pembinaan.

“Bagi tujuan ini, Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berhasrat memberi peluang kepada 7,800 belia tempatan untuk ditempatkan dan dilatih di syarikat-syarikat pembinaan.

“Dengan cara ini, belia akan memperoleh pengalaman bekerja di sektor pembinaan secara hands-on,” katanya ketika berucap sempena majlis perasmian SPN di sini hari ini.

Inisiatif Kolaborasi Rentas Kementerian itu bagi menyediakan peluang pekerjaan dan memberi pengalaman bekerja kepada golongan belia di sektor swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Tambah Fadillah, program dilaksanakan CIDB itu merupakan sebahagian daripada program yang bermula tahun ini untuk dimanfaatkan 30,000 penggiat industri dalam kalangan kontraktor, personel binaan dan belia khususnya dalam pelbagai bidang kemahiran, penyeliaan, pengurusan dan penggunaan teknologi dalam pembinaan.

“CIDB juga memperkenalkan program bagi membantu kontraktor yang berminat menceburi bidang pengeluaran komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) selain turut berperanan dalam memudah cara kontraktor tempatan untuk beralih dari sistem  konvensional kepada IBS.

“Selain itu, turut menyediakan subsidi pembelian perisian Building Informtion Modelling (BIM) bagi meningkatkan penggunaanya di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu, program SPN yang merupakan susulan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bertujuan untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kementerian sentiasa mencari jalan untuk menyelesaikan  permasalahan rakyat.

“Kementerian melalui TalentCorp akan terus memberikan tumpuan kepada pembangunan kebolehpasaran graduan dan tenaga bakat muda negara dengan melaksanakan program seperti Young Employable Students,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya