PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan bersama-sama Kementerian Kerja Raya serta Kementerian Sumber Manusia menyediakan inisiatif latihan perantis kepada lebih 10,000 belia.
Inisiatif dinamakan Skim Perantisan Nasional tersebut adalah atas kerjasama rentas kementerian-kementerian terbabit pasca penularan Covid-19.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, skim itu merupakan penampan kepada syarikat-syarikat yang kini mengalami kesukaran.
Salah satu penampan itu adalah dengan menyediakan peluang latihan dan perantisan yang memungkinkan pengurangan kadar pengangguran.
“Ini adalah inisiatif yang dilakukan kementerian saya tetapi ia mendapat sokongan kuat dari Kementerian Kerja Raya yang melakukan (latihan) lebih awal termasuk Kementerian Sumber Manusia.
“Apa yang hendak dibuat kementerian adalah menggabungkan inisiatif ini dan pada masa sama, membawa ke kementerian-kementerian yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran skim berkenaan di Menara KBS di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.
Skim ditawarkan terbuka kepada belia berumur 35 tahun dan ke bawah, sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, sijil kemahiran, graduan diploma atau ijazah sarjana muda. – UTUSAN ONLINE