Cubaan sindiket jadikan rumah makmal proses ganja gagal - Utusan Malaysia

Cubaan sindiket jadikan rumah makmal proses ganja gagal

SURINA Saad menunjukkan ketulan mampat berisi daun kering disyaki ganja yang dirampas dalam seruan di sebuah rumah di Beseri, Parlis Khamis lalu, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis hari ini. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR:  Polis melumpuhkan cubaan satu sindiket menjadikan sebuah rumah di Beseri di sini sebagai makmal memproses ganja selepas menahan tiga lelaki Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, polis turut merampas ketulan mampat daun kering seberat 959.4 gram disyaki ganja, serbuk dan biji kering disyaki ganja, sebatang pokok ganja dan satu botol plastik cecair disyaki minyak ganja, dianggarkan bernilai RM5,130. 

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, suspek berumur antara 25 hingga 26 tahun dengan seorang daripadanya lulusan diploma kejuruteraan.

“Apa yang kami lihat, mereka memang berusaha menjadikan rumah itu tempat memproses ganja apabila menemukan biji benih ganja selain pokok ganja berusia tiga bulan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tambah Surina, polis turut merampas sebuah Perodua Myvi 1.5 SE serta motosikal Honda Beat 110 dan Honda Wave bernilai RM61,000.

Beliau berkata,  turut ditahan seorang lagi suspek dipercayai anggota kumpulan sama di Taman Utama Kangar di sini, sehari selepas rakan-rakannya ditahan.

Surina berkata, polis juga telah mengenal pasti beberapa orang lagi suspek dipercayai dari rangkaian yang sama.

“Dalam serbuan itu, kami merampas satu ketulan mampat berisi daun kering disyaki ganja seberat 36.7 gram, serbuk dan biji kering disyaki ganja berat 5.9 gram.

“Turut disita Proton Saga 1.3 dan motosikal Honda EX5 dengan nilai keseluruhan RM48,000,” katanya.

Surina memberitahu, tiga suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini, manakala seorang lagi selama lima hari sehingga esok.

“Tiga suspek pertama disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 6B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Manakala seorang lagi suspek disiasat di bawah

Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN