KOTA TINGGI: Pengawal keselamatan yang maut dipercayai akibat diserang gajah liar di lombong pasir Batu 6, Simpang Perani, Mawai di sini semalam sering menceritakan selalu terserempak dengan haiwan liar itu di laluan ke tempat
kerjanya.
Anak saudaranya yang mahu dikenali sebagai Shahida, 30, berkata, mangsa, Misran Tukijoh, 56, sudah lebih lima tahun
bekerja di tapak lombong pasir berkenaan.
Katanya, kejadian itu hanya disedari isteri Misran selepas mangsa tidak pulang ke rumah untuk bersarapan apabila tamat syif kerja.
“Isterinya mula rasa tidak sedap hati kerana arwah tidak muncul setelah lama menunggu kepulangannya.
“Dia kemudian mencari arwah di tempat kerja dan terkejut melihat kereta Honda dipandu Misran kemik dipercayai dipijak gajah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, isteri arwah kemudian menjumpai mayat suaminya tanpa memakai baju selain terdapat kesan tapak gajah di
kawasan berkenaan.
“Arwah seorang yang suka dengan haiwan malah sering bercerita bertembung dengan gajah liar itu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Salman Saaban berkata, pihaknya sedang mengesan gajah tersebut dan haiwan itu akan dihantar ke Taman Negeri Endau Rompin, Pahang jika berjaya ditangkap.
Katanya, sepanjang tahun ini terdapat dua kes membabitkan serangan gajah terhadap orang ramai di sini dengan satu insiden melibatkan kematian dan seorang cedera. – UTUSAN ONLINE