Serah kerusi Parlimen Seremban kepada UMNO - Zool Amali - Utusan Malaysia

Serah kerusi Parlimen Seremban kepada UMNO – Zool Amali

ZOOL AMALI HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemuda UMNO Bahagian Seremban mahu kerusi Parlimen Seremban tidak lagi ditandingi calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya diserah kepada UMNO atau Pas.

Ketuanya, Zool Amali Hussin berkata, sudah tiga kali PRU MCA bertanding di kerusi tersebut dan hasilnya, Barisan Nasional (BN) ditolak pengundi, malah kalah dengan teruk.

Beliau berkata, UMNO ataupun Pas perlu diberi peluang kali ini bagi merampas Parlimen Seremban daripada DAP mengambil kira pengundi Melayu merupakan majoriti di sini.

“Berdasarkan jumlah terkini, daripada 110,000 pengundi berdaftar di Parlimen Seremban, seramai 53,000 merupakan pengundi Melayu, selebihnya Cina dan India. Atas faktor ini, UMNO atau Pas perlu bertanding.

“Ia bukan isu kerusi tradisi, sebaliknya strategi untuk menang. Jika diletak calon MCA tetapi kalah buat apa? Seolah-olah kalah sebelum masuk gelanggang, sebaliknya jika diletakkan calon UMNO atau Pas, peluang masih ada,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada PRU-14, calon DAP Loke Siew Fook menang dengan majoriti 30,694 undi menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Chong Sin Woon yang mendapat 24,809 undi manakala calon Pas, Shariffuddin Ahmad memperoleh 11,506 undi.

Ketua MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon dilaporkan memberitahu, pihaknya tidak akan memberi laluan kepada parti komponen lain untuk bertanding kerusi Parlimen Seremban 

Katanya, MCA Negeri Sembilan dan MCA Bahagian Seremban juga tidak akan bertolak ansur dalam soal itu.

Tambah Zool Amali, akar umbi UMNO di Seremban telah lama membawa perkara itu ke dalam mesyuarat UMNO bahagian dan cawangan dan ia telah diterima.

“Ia bukan isu baharu, sebelum ini kami masih bertolak ansur, namun selepas kalah buat kali ketiga pada PRU-14, kita tahu MCA sudah tidak lagi relevan untuk bertanding di Seremban,” katanya.

Kata Zool Amali, Pemuda UMNO Seremban tidak mempunyai masalah jika MCA mahu bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada di Temiang, Nilai ataupun Lobak.

“Kami di peringkat Pemuda UMNO tegas dengan keputusan ini, kerusi Parlimen Seremban mesti diberikan kepada UMNO dan Pas.

“Cukup-cukuplah, MCA boleh bertanding di DUN, rampas kerusi Temiang, Nilai dan Lobak, itulah merit buat mereka, kena kerja keras dan UMNO dan Pas akan bantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya