Semua surau di Negeri Sembilan dibenar adakan solat sunat Aidiladha - Utusan Malaysia

Semua surau di Negeri Sembilan dibenar adakan solat sunat Aidiladha

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua surau di Negeri Sembilan dibenarkan untuk mengadakan solat sunat Aidiladha pada 31 Julai ini.

Kebenaran yang melibatkan kira-kira 1,063 surau itu adalah tambahan kepada semua masjid dan surau Jumaat sedia ada.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan tersebut bagi mengelakkan orang ramai tertumpu di sesuatu tempat bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

“Kita akan buka semua masjid dan surau yang mengadakan solat Jumaat dan kita juga menggalakkan semua surau di Negeri Sembilan iaitu hampir 1,063 kesemuanya, supaya membuka surau mereka bagi diadakan solat sunat Aidiladha.

“Namun, pihak surau perlu terlebih dahulu memohon kepada pejabat agama Islam daerah.

“Kita maklum, Aidilfitri lalu mereka tidak dapat solat kali ini mereka akan dapat solat, jadi mereka akan berkumpul dan diharap mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelas Aminuddin, kesemua masjid, surau Jumaat dan surau tersebut tidak dibenarkan memasang khemah di kawasan masing-masing untuk tujuan tersebut.

“Kami benarkan semua surau untuk adakan solat sunat Aidiladha tetapi tidak dibenarkan memasang khemah.

“Risikonya apabila kita pasang khemah, bila hujan mereka akan tertumpu ke dalam dan akhirnya tidak berlaku penjarakan sosial,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN