Saravanan lawat Top Glove selesai isu sekatan - Utusan Malaysia

Saravanan lawat Top Glove selesai isu sekatan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan akan melawat kilang Top Glove dan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn. Bhd. dan TG Medical Sdn.Bhd. dalam masa terdekat.

Lawatan itu bagi mengetahui keadaan syarikat tersebut selepas produk sarung tangannya dikenakan sekatan  antarabangsa oleh Jabatan Kastam dan Pelindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat. 

Saravanan berkata, tuduhan agensi luar negara terhadap syarikat itu baru-baru ini adalah tidak tepat. 

“Saya akan melawat Top Glove bersama pegawai-pegawai kanan kementerian serta wakil Amerika Syarikat untuk membuktikan tuduhan yang dilemparkan itu tidak berasas. 

“Kita akui terdapat kekurangan dalam pengurusan syarikat tersebut namun bukan seperti  diuar-uarkan agensi luar negara.

“Agensi-agensi asing tidak perlu campur tangan, sepatutnya mereka berhubung dengan kementerian berkenaan untuk sebarang penjelasan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama  wakill Top Glove di sini. 

Industri getah negara baru-baru ini berdepan sekatan antarabangsa berikutan tindakan CBP mengenakan sekatan ke atas sarung tangan getah keluaran Top Glove dan dua anak syarikatnya. 

Antara alasan sekatan itu berkaitan elemen buruh paksa. Tindakan sama sebelum ini pernah dikenakan oleh CBP kepada WRP Asia Pasifik Sdn. Bhd. tahun lalu.

Sebelum sekatan diumumkan, satu operasi menggabungkan task force Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilakukan di ibu pejabat syarikat tersebut. 

Jelas Saravanan, kementerian amat sedar kesan sekatan tersebut yang akan menjejaskan kredibiliti dan imej negara di peringkat antarabangsa. 

Katanya, ia pasti mempengaruhi keyakinan para pelabur asing di negara ini kerana wujud elemen tuduhan buruh paksa. 

“Kementerian akan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446 (PINDAAN) 2019) bermula 1 September ini.

“Kementerian tidak mahu majikan tempatan di semua sektor pekerjaan termasuk industri getah mengambil tindakan bercanggah dengan akta tersebut, yang boleh disabitkan dengan elemen buruh paksa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya