KLANG: Tindakan tiga wanita yang melakukan samun terhadap seorang penjual ais krim membawa padah apabila mereka ditahan tidak lama selepas itu di Taman Daya kelmarin.
Ketiga-tiganya termasuk remaja berusia 16 tahun itu ditahan pukul 9 malam, kira-kira dua jam selepas mereka menyamun mangsa.
Dalam kejadian pukul 7 petang itu, penjual aiskrim warga Pakistan yang bermotosikal didatangi tiga suspek di Jalan Teratai Meru.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, salah seorang suspek meminta wang, namun mangsa enggan berbuat demikian sehingga menyebabkan wanita itu memanggil anak lelakinya untuk memukul penjual ais krim terbabit.
“Anak lelaki suspek telah tiba bersama rakannya di lokasi kejadian dan bertindak memukul mangsa menggunakan paip getah.
“Suspek cuba mencucuk badan mangsa menggunakan pembuka plug. Mangsa telah melarikan diri dengan meninggalkan motosikalnya di tepi jalan untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, mangsa telah kembali mendapatkan motosikalnya dan mendapati wang tunai RM250 miliknya telah hilang dan tong ais krimnya juga dirosakkan,” katanya di sini semalam.
Tambah Nurulhuda, hasil siasatan, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga suspek wanita terbabit dan merampas kunci, batang besi dan motosikal yang digunakan.
“Kita sedang mengesan dua lagi suspek yang terlibat dalam kes tersebut yang dikenali sebagai Ali dan Singapore.
“Kesemua suspek kini direman lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 dan 427 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE